29 December 2010

FP Junior - Aku Tom Kau Jerry


ISBN: 978-967-365-048-8
Sem. Malaysia: RM10.90
Sabah / Sarawak: RM13.90

“Habis kau ingat kau baik sangat? Kalau aku jahat, kau pun sama jahat,” marah Farah Hana sambil mengesat air mata.
“Memang aku tahu aku jahat, tapi aku baik sikit daripada kau. Kau tu jahat tahap gaban. Gaban pun tak jahat macam kau!” balas Nurul.
“Gaban tu sepupu kau ke yang kau kenal sangat tu?” soal Farah Hana kemudian.
“Lah, tanya aku pula. Bukan ke gaban tu sepupu kau?”

Nurul dan Farah Hana, walaupun sekelas, tapi antara mereka tidak pernah sehaluan sehinggakan ada yang menggelar mereka Tom and Jerry. Farah Hana sentiasa menggunakan kelebihannya sebagai pengawas untuk mengenakan Nurul. Tapi Nurul pula menjadikan psikologi sebagai senjata utama sehinggakan tiap apa yang Farah Hana lakukan tidak menjadi. Tapi persoalannya sampai bila mereka harus menyandang gelaran Tom and Jerry? Mampukah mereka berubah?

15 December 2010

Jangan Pernah Berubah



Terbitan Fajar Pakeer Sdn. Bhd. (Dec. 2010)
ISBN : 978-967-365-039-2
Sem. Malaysia : RM 18.90
Sabah / Sarawak : RM21.90



Kata orang cinta itu asalnya dari mata. Kemudian, sampai ke hati. Betullah agaknya kata orang itu, sebab dengan mata itulah Hanisha jatuh hati kepada lelaki yang entah siapa-siapa. Kemudian, dia jatuh sayang. Sayang sangat-sangat sampai tak boleh lupa siang dan malam. Mula menyimpan angan-angan yang bukan-bukan.

“Hani fikir, abang semudah itu untuk berubah hati? Hani ingat abang ni boneka yang hanya tahu mengikut kata dan telunjuk orang?”

Bagi Fahrin yang dituduh dengan penyataan yang sama sekali tidak benar, mula memasang angan yang indah-indah apabila emaknya mengutarakan sesuatu yang benar-benar memeranjatkannya. Kalau dah jodoh, larilah ke mana sekalipun, jodoh tetap jodoh.

Benarkah jodoh yang diharapkan akan berkekalan hingga ke akhirnya? Mampukah Hanisha dan Fahrin mengatasi rintangan dan masalah yang menduga? Benarkah tidak akan ada hati yang pernah berubah?

15 May 2010

Janji Tak Degil Lagi - FP Junior


Terbitan Fajar Pakeer Sdn. Bhd. (May 2010)

ISBN: 978-967-365-017-0
Sem. Malaysia: RM10.90
Sabah/Sarawak: RM13.90



Fahim sangat degil, malas belajar, malas bawa buku teks dan juga malas buat kerja sekolah. Akibat daripada kemalasannya itu dia selalu didenda lari pusing padang. Ini menimbulkan rasa kurang senang Fahim terhadap Cikgu Yahya yang selalu menghukumnya.

Satu hari, Fahim telah melakukan satu kesalahan besar, namun Cikgu Yahya sedia memaafkannya dan memberi sekali lagi peluang buat Fahim. Sejak hari itu dia berusaha untuk berubah.

Ketika dia mula menjadi seorang murid yang baik dan juga mula menyukai Cikgu Yahya, dia menerima satu berita yang tidak menggembirakan. Cikgu Yahya bakal berpindah ke sekolah lain. Apakah Fahim akan terus berusaha menjadi murid yang baik ataupun kembali ke sikap asal dengan perpindahan Cikgu Yahya itu?

15 March 2010

Berteman Rindu - Dwilogi Cinta


Terbitan Fajar Pakeer Sdn. Bhd. (March 2010)
ISBN: 978-983-3880-94-2
Sem. Malaysia: RM19.90
Sabah/Sarawak: RM22.90



Sejauh mana pun mereka membawa diri, Najla dan Amal tidak mudah melupakan segala yang pernah menjadi milik mereka. Bukan mudah juga untuk mereka merelakan perpisahan. Bukan juga mudah melupakan kepergian.

Amal tahu dirinya hanya gagak di rimba dan Hakim umpama merak kayangan. Sudah ditakdirkan Hakim itu tidak untuknya. Namun bukan salahnya apabila kasih setia tercipta untuk lelaki itu. Najla sedar cintanya kepada Anas Salihin tidak pernah pudar walau jarak dan waktu memisahkan mereka. Namun, Najla tidak sanggup untuk terus berharap apabila terbukti cinta itu tidak berpihak untuknya.

Apakah benar Amal dan Hakim tidak berhak untuk bersama hanya kerana dunia mereka berbeza? Dan, selama mana pula Najla dan Anas Salihin terdaya menyembunyikan rahsia hati? Selama mana mereka rela berteman rindu sedang di hati ada cinta menemani?

24 February 2010

Kerana Siti Munirah - FP Junior



Terbitan Fajar Pakeer Sdn. Bhd. (Feb.2010)
ISBN: 978-983-3880-84-3
Sem. Malaysia: RM10.90
Sabah/Sarawak: RM13.90

“Esok kita berkemas. Nanti Pak Hamid hantar kamu ke rumah pak cik kamu. Sekolah di sana pula!” tegas Tuan Ahmad Muzakir.

Kalau ikutkan hati, mahu sahaja Ikmal Hakimi memberontak tika itu. Anak bandar sepertinya harus belajar di luar bandar. Oh tidak!

“Seronok kata kau. Macam berkawan dengan beruk hutan. Bodoh-bodoh semuanya. Perkataan Bahasa Inggeris satu pun tak faham,” kutuk Ikmal Hakimi ketika berbual dengan temannya di talian.

Tanpa disangka perbualannya didengari Siti Munirah. Gadis yang mengenakannya di hari pertama persekolahan yang juga sudah menyebarkan cerita itu kepada seisi kelas sehinggakan dia dipulau. Dendam Ikmal Hakimi makin membara.

Namun tanpa diduga perbuatan keterlaluan yang dilakukannya itu mengundang rasa marah di hati Siti Munirah hinggakan timbul rasa bersalah di hatinya.

“Tahanlah sikit. Baru sakit macam ni dah terpekik melolong,” marah Siri Munirah.
“Sakit sangatlah!”
“Sikit saja tu. Budak sombong macam awak susah nak mati.”
“Sombong?! Budak sombong?” soal Ikmal Hakimi.

Itukah tanggapan mereka terhadap Ikmal Hakimi selama ini? Apakah kerana Siti Munirah, kehidupan budak bandar yang keras hati seperti Ikmal Hakimi akan berubah?